Xuan Son: Dia Pemain Terbaik Selangor
MakanBola
Selangor FC

Bintang Selangor dan Harimau Malaya diangkat oleh tonggak Nam Dinh, Nguyen Xuan Son sebagai pemain terbaik pilihan beliau.

Pandangan Xuan Son itu dibuat ketika tonggak kebangsaan Vietnam itu disoal mengenai pilihan terbaik beliau sempena ASEAN Club Championship (ACC) Shopee Cup baru-baru ini.

Xuan Son menerusi satu segmen soal jawab bersama ASEAN United FC diminta membuat pilihan berkenaan pemain serta momen terbaik sepanjang karier dan aksinya di Shopee Cup.

Ketika ditanya mengenai pemain terbaik dari Selangor, Xuan Son tanpa teragak-agak memilih Faisal Halim kerana pemain sayap negara itu memiliki kualiti yang mengagumkan beliau.

Pemilihan Faisal Halim dibuat Xuan Son selepas mengambil kira pertemuan mereka berdua di atas padang sebelum ini dalam aksi penting terutamanya ketika mewakili Vietnam dan Malaysia.

”Pemain berjersi nombor 7 (Faisal Halim), dia pemain terbaik (Selangor) kerana memiliki kualiti yang tinggi,” ujar Xuan Son.

“Saya beraksi menentang beliau kali terakhir aksi bertemu Malaysia, dia pemain yang hebat,” ulas penyerang kelahiran Brazil itu lagi.

Sebagai rekod, Faisal Halim mengharungi tempoh yang amat hebat musim ini apabila berjaya merekodkan 22 jaringan dan 13 bantuan gol dalam 46 penampilan buat pasukan Selangor.