Bintang Selangor, Faisal Halim, mengakui fokus utamanya kekal kepada kejayaan pasukan menjelang aksi separuh akhir Shopee Cup menentang Nam Dinh FC, meskipun peluang untuk mencipta detik peribadi cukup bermakna sentiasa berada di fikirannya.
Menurut Faisal, soal jaringan gol bukan keutamaan utama dalam perlawanan besar seperti ini, sebaliknya kemenangan pasukan menjadi matlamat paling penting.
“Bagi saya, tidak kira saya menjaringkan gol atau tidak, yang penting adalah pasukan. Dalam perlawanan besar, kemenangan pasukan adalah keutamaan.
“Secara peribadi, ini adalah masa yang sukar bagi saya selepas hampir dua tahun (merujuk kepada insiden asid).”
Namun begitu, pemain sayap lincah itu tidak menafikan bahawa sekiranya dia berjaya menemui jaringan, ia pasti menjadi satu momen yang cukup istimewa buat dirinya.
“Sekiranya saya menjaringkan gol esok, akan menjadi sesuatu yang sangat indah, tetapi keutamaan tetap kepada kemenangan pasukan.”
Lebih menyentuh, kenyataan Faisal hadir tepat pada tarikh 5 Mei 2026 — genap dua tahun insiden hitam yang pernah menggemparkan arena bola sepak negara apabila beliau menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei 2024.
Mengimbau kembali tempoh sukar tersebut, Faisal mengakui ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui, baik dari segi fizikal mahupun mental.
“Saya kembali bermain dengan sokongan rakan sepasukan
serta peminat.
“Bukan mudah untuk menerima apa yang berlaku. Wajah saya mungkin berbeza, tetapi semangat dan keghairahan saya untuk menjadi yang terbaik masih sama.”
Aksi Selangor vs Nam Dinh bakal berlangsung pada Rabu, 6 Mei 2026 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 9 malam.