Pemain pertahanan Sabah FK, Jon Irazabal mula menjadi sebutan dalam kalangan peminat bola sepak Malaysia.
Ini kerana menurut wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, Irazabal merupakan salah seorang daripada tiga pemain warisan yang dilaporkan bakal memperkuat skuad Harimau Malaya.
Bek kiri berusia 28 tahun itu dilaporkan bakal menyertai hari pertama latihan Harimau Malaya pada 17 Mac ini.
“Difahamkan pemain dari Liga Azerbaijan, Sabah FK, Jon Irazabal salah seorang dari tiga pemain berdarah warisan yang bakal sertai kem latihan kebangsaan 17 Mac ini,” katanya di X.
Majoriti karier Irazabal dihabiskan di Sepanyol sebelum beliau menyertai Sabah FK pada 2022. Selain pasukan Azerbaijan itu, beliau juga pernah beraksi untuk Amorebieta, Leioa, Eibar B dan Mirandes.
Sejak menyertai Sabah FK, beliau sudah merekodkan 87 penampilan, enam gol dan dua bantuan gol. Ini termasuk empat aksi kelayakan Liga Konferens UEFA (UECL).
Selain beraksi sebagai bek kiri, Irazabal juga boleh beraksi sebagai bek tengah jika diperlukan.
Khabar ini dijangka menambah semangat peminat Harimau Malaya untuk mengetahui identiti dua lagi pemain warisan yang akan menyertai kem pasukan itu pada 17 Mac.