Penyerang PDRM FC, Shahrel Fikri telah memberikan nasihat berguna kepada sesiapa yang mahu bergelar pemain bola sepak profesional.
Nasihat daripada Shahrel itu telah dikongsikan oleh PDRM FC di laman Facebook rasmi kelab tersebut baru-baru ini.
Bagi Shahrel, untuk menjadi pemain bola sepak, pengorbanan adalah sangat diperlukan dan mempunyai keinginan untuk berjaya yang tinggi.
“Untuk jadi pemain bola sepak bukan senang, kena ada pengorbanan. Rasa nak berjaya tu kena tinggi. Kalau rasa malas, tak boleh main bola.
“Bila dah ada di tempat nak main bola, memang susah untuk kita kekalkan (prestasi), kena berdisiplin,” jelas Shahrel seperti yang dikongsikan oleh PDRM FC.
Shahrel adalah salah seorang pemain tempatan yang masih mengekalkan posisinya di bahagian serangan bagi saingan Liga Super walaupun dirinya terpaksa bersaing dengan pemain-pemain import.
Bagi musim ini, Shahrel sudah beraksi 4 perlawanan dalam Liga Super dan dua perlawanan Piala MFL. Biarpun masih gagal meledak dalam saingan Liga Super, bagi saingan Piala MFL, beliau sudah meledak 2 gol setakat ini.