Natxo Insa Dihukum
MakanBola
Johor Southern Tigers

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menjatuhkan hukuman denda ke atas pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa.

Hukuman tersebut diputuskan oleh Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC yang bersidang pada 15 Januari lalu.

Natxo dihukum AFC susulan kenyataan yang dikeluarkan beliau kepada media selepas aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) antara Shandong Taishan dan JDT pada 26 November lalu.

Pemain tengah berusia 38 tahun itu kemudiannya memohon maaf secara terbuka atas tindakannya itu dan merasa kesal atas apa yang berlaku.

Susulan itu, AFC mengenakan denda sebanyak AS$5,000 (RM22,000) kepada beliau atas kesalahan tersebut.

AFC turut memaklumkan hukuman lebih berat menanti Natxo sekiranya mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.

Selain Natxo, kelab gergasi Lembah Klang, Selangor FC turut dikenakan hukuman denda oleh AFC.

The Red Giants didenda AS$24,500 (RM110,000) selepas melanggar tiga peraturan AFC semasa aksi Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) menentang Jeonbuk Hyundai Motors pada 23 Oktober lalu.

Tiga kesalahan tersebut ialah penyokong menayangkan kain sepanduk yang dilarang mengikut Kod Etika dan Disiplin AFC, kegagalan mengeluarkan kain sepanduk yang dinyatakan dari stadium dan lewat memasuki padang pada separuh masa kedua.

AFC juga mengingatkan Selangor bahawa pasukan itu bakal dikenakan hukuman lebih berat jika mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.