Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Nazmi Faiz Mansor kembali mendapat perhatian kem Harimau Malaya diketuai Pau Marti.
Pada Khamis, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengeluarkan senarai 27 pemain Harimau Malaya bagi aksi persahabatan bertemu New Zealand pada 14 Oktober ini.
Daripada senarai panggilan tersebut, tiga muka baharu telah dipanggil dengan 2 daripadanya ialah tonggak skuad bawah 19 tahun kebangsaan iaitu Haykal Danish dan Haziq Aiman.
Lebih mencuri tumpuan adalah senarai menunggu yang turut diumumkan, terdiri daripada 11 pemain seperti Zhafri Yahya, Haziq Nadzli, Zikri Khalili, Fergus Tierney begitu juga Nazmi Faiz.
Nama Nazmi Faiz menjadi perhatian apabila jurulatih negara, Pau Marti kembali menyenaraikan pemain berusia 30 tahun ini untuk berada di senarai bersedia jika berlaku sebarang kecederaan.
Kai terakhir Nazmi menyarung jersi kebangsaan adalah ketika kejohanan Thai King’s Cup 2022 yang mana ketika itu skuad negara bimbingan Kim Pan-gon muncul naib juara setelah tewas kepada Tajikistan.
Malah, persembahan Nazmi bersama JDT musim ini turut menerima respons positif dari para peminat yang masih percaya dengan keupayaan bekas pemain SC Beira Mar ini.
Untuk musim ini, Nazmi telah mencatatkan 10 penampilan bersama skuad Harimau Selatan dan telah mengumpul 327 minit permainan selain menyumbang satu bantuan jaringan.