Ketua jurulatih Negeri Sembilan, Nidzam Jamil melihat para pemainnya melalui dua senario yang berbeza antara babak pertama dan kedua ketika tewas kepada Selangor dalam aksi Liga Super, malam tadi.
Menurut beliau, Negeri Sembilan tampak bergelut dari segi organisasi pertahanan di babak yang pertama, terutamanya dalam mengendalikan taktikal overload yang dilakukan oleh Selangor.
“Saya rasa pada separuh masa pertama dan kedua, terdapat dua senario yang berbeza.”
“Di separuh masa pertama, dari segi pertahanan, kami tidak mampu menjawab sepenuhnya masalah yang diberikan oleh Selangor, khususnya di bahagian sisi,” ujar Nidzam Jamil.
“Terutamanya apabila mereka (Selangor) membuat overload di bahagian sisi. Nooa Laine di satu sisi, Noor Al-Rawabdeh di satu sisi lagi.”
“Ketika itu, kami perlu membuat keputusan sama ada untuk menekan atau kekal di posisi.”
“Ada ketika apabila kami menekan, ruang menjadi terbuka. Tetapi jika kami kekal, mereka pula mendapat kebebasan,” jelas Nidzam Jamil lagi.
Walau bagaimanapun, beliau melihat ada peningkatan pada babak kedua apabila para pemainnya berjaya menyesuaikan diri, namun kelemahan ketika situasi bola mati mengundang padah.
Nidzam menegaskan aspek pengendalian situasi bola mati perlu diberi perhatian serius kerana ia merupakan situasi ‘dead ball’ yang sepatutnya boleh ditangani dengan lebih baik.
“Namun di separuh masa kedua, kami berjaya menguruskan masalah itu dengan lebih baik.
“Walau bagaimanapun, dalam situasi bola mati, kami perlu meningkatkan prestasi. Cara kami mengendalikan situasi bola mati perlu diperbaiki kerana ia adalah situasi ‘dead ball’.
“Hantaran yang dibuat sepatutnya boleh ditangani dengan lebih baik.”
Pada perlawanan tersebut, jaringan tunggal perlawanan hadir pada minit ke-61 menerusi Nooa Laine hasil tendangan sudut sekaligus mengesahkan kemenangan buat Selangor di laman sendiri.
Kemenangan 1-0 di Stadium MBPJ ini menyaksikan Selangor meraih kemenangan kedua berturut-turut di bawah kendalian Kim Pan-gon yang turut melonjak kedudukan The Red Giants ke tangga kedua.
Manakala, Negeri Sembilan pula akur merekodkan kekalahan kedua berturut-turut selepas turut tumpas 0-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) minggu lalu untuk berada di tangga ke-6 Liga Super