Advertisement
Neil Etheridge Lega Bantu Buriram United Curi Mata Dari JDT
ACL
MakanBola
Buriram United

Penjaga gol Buriram United, Neil Etheridge mengakui lega kerana dapat membantu pasukan itu mencuri satu mata daripada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Aksi terbaru Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) membabitkan Harimau Selatan dan Thunder Castle berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Aksi tersebut turut menyaksikan kedua-dua pasukan masing-masing terpaksa bermain dengan sembilan dan 10 pemain. Ini selepas pengadil Arab Saudi, Khalid Salleh Alturais melayangkan empat kad kuning dan tiga kad merah.

Etheridge yang pernah beraksi untuk Cardiff City mengakui bukan mudah menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim (SSI). Atas sebab itu, beliau menganggap satu mata yang diraih hari ini cukup berharga.

“Ya, kita tahu di sini (SSI) bukan satu tempat yang mudah untuk datang. Semua orang tahu (aksi ini) cukup bermakna untuk rantau Asia Tenggara.

“Saya fikir ia satu perlawanan yang pelik dan saya di sini untuk membantu kita mendapatkan mata yang amat diperlukan,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Keputusan seri tanpa jaringan itu menyaksikan JDT dan Buriram masing-masing menduduki tangga keenam dan kelapan Liga Timur ACLE selepas enam perlawanan.

Aksi ini merupakan penutup kempen ACLE untuk tahun 2024 bagi kedua-dua pasukan. Selepas ini, JDT akan bertandang ke Gosport untuk menentang Central Coast Mariners pada 11 Februari 2025.

Buriram pula bersiap sedia menerima kunjungan juara K-League 1 musim 2024, Ulsan HD pada 12 Februari 2025.