Jurulatih New Zealand, Darren Bazeley mengakui teruja untuk menentang skuad senior Malaysia di Auckland nanti.
Malaysia bakal berhadapan All Whites dalam aksi persahabatan antarabangsa yang akan diadakan di Auckland pada 14 Oktober ini.
Ini kali pertama kedua-dua pasukan bertemu sejak kali terakhir melakukannya pada 23 Februari 2006. Menariknya, aksi terakhir Malaysia dan New Zealand turut diadakan di negara berkenaan.
Harimau Malaya yang ketika itu dibimbing Norizan Bakar tewas 2-1 kepada All Whites di Stadium North Harbour, Auckland. Tuan rumah mendahului pada minit ke-18 menerusi Campbell Banks.
Skuad negara kemudiannya menyamakan kedudukan menerusi Safee Sali pada minit ke-24. New Zealand kemudiannya meraih kemenangan menerusi gol lewat Andrew Barron.
Bagi Bazeley, peluang menentang Malaysia di bumi New Zealand dilihat satu pengalaman berharga buat beliau dan anak buahnya.
Ini kerana aksi sebegini mampu memberi dorongan kepada mereka untuk mengharungi baki kempen kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Oceania.
“Membawa perlawanan kembali ke New Zealand merupakan kunci buat para penyokong dan keluarga kita.
“Para pemain cukup teruja beraksi di sini dan kita juga tahu beraksi di padang ini bakal memberi kelebihan dan iklimnya juga bukan satu masalah.
“Tapi kita masih perlu melangkah masuk ke padang, lakukan tugas kita dan pastikan kita bersedia untuk setiap perlawanan,” katanya seperti yang dilaporkan Friends of Football New Zealand.
Pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente sudah memanggil 27 pemain bagi menghadapi cabaran All Whites. Ini termasuk dua tonggak skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19), Haziq Aiman Mohd Esa dan Haykal Danish Mohd Haizon.