Pengendali Selangor, Nidzam Jamil mengakui teruja dengan prestasi barisan anak buahnya dalam aksi terbaru Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Aksi terbaru Kumpulan H menyaksikan Selangor menjadi pendahulu baru kumpulan selepas merekodkan kemenangan 2-1 ke atas Jeonbuk Hyundai Motors.
Gol Harith Haiqal Adam Afkar dan Ali Olwan memastikan penyokong Merah Kuning pulang dengan gembira. Manakala Kwon Chang-hoon pula menyumbat gol saguhati buat Jeonbuk.
Kejayaan ini cukup manis buat Selangor kerana mereka bukan saja berjaya mengalahkan pasukan yang pernah bergelar juara K-League 1 sebanyak sembilan kali itu.
Malah, ini memberi keyakinan kepada Merah Kuning untuk menghadapi aksi Kumpulan H seterusnya pada 7 November ini.
Atas sebab itu, Nidzam melihat kejayaan ini mampu membina keyakinan buat penyokong dan Selangor untuk terus menyerlah di pentas Asia.
“Jeonbuk memberi tentangan yang bagus tapi sekali lagi, saya bangga dengan para pemain kita. Sangat bangga dengan pemain-pemain kita kerana bukan mudah nak bermain dengan Jeonbuk.
“Dan saya fikir tiga mata malam ini amat penting untuk membina keyakinan semua penyokong. Membina keyakinan pemain sendiri tapi sekali lagi, ini bola sepak.
“Hari macam ini kadang-kadang tidak ada tapi secara keseluruhannya, saya gembira dengan soalan ini,” katanya dalam temu bual selepas perlawanan.
Selangor kini mengalihkan fokus kepada satu lagi aksi berkualiti dalam saingan Liga Super. Pasukan itu bakal melayan kunjungan JDT di Stadium MBPJ pada 27 Oktober ini.
Aksi ini juga dilihat misi balas dendam buat anak buah Nidzam. Ini selepas Selangor dibelasah JDT 6-1 di pentas final Piala FA 2024 pada Ogos lalu.