Ketua Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil percaya Selangor sebenarnya mampu menewaskan KL City.
Pengendali muda berusia 44 tahun itu menyaksikan anak buahnya menghadapi tentangan hebat The City Boys di laman lawan.
Beliau bagaimanapun memuji kesungguhan yang ditonjolkan oleh para pemainnya untuk mencari jaringan dan mencipta peluang.
“Kalau kita menilai KL City dengan cerita luar padang, kita akan termakan dengan perkara sebegini. Kita jangka perkara ini akan berlaku. Kita boleh menidakkan jaringan tersebut sebenarnya.
“Sebagai jurulatih kami menjangka segala-galanya, tetapi kita perlu kekal positif. Saya tidak terlalu memikirkan tentang aksi derbi tetapi ini masa terbaik untuk melihat balik apa yang perlu diperbaiki.
“Untuk kita berkembang, kita perlu memandang ke hadapan dan tidak terlalu memikirkan kekalahan ini,” jelasnya selepas perlawanan.
Nidzam juga mahu menampilkan persiapan yang berbeza selepas ini memandangkan sudah mengalami dua kekalahan ketika beraksi di laman lawan.
“Saya sebenarnya percaya kita (Selangor) boleh memenangi perlawanan ini,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun mengakui tidak gembira dengan kekalahan ini namun mahu fokus menghadapi aksi Piala FA menentang Terengganu.
Selangor bakal berdepan cabaran Terengganu bagi aksi separuh akhir Piala FA 2024 pada 19 Julai 2024 jam 9 malam.