Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil mengakui bukan mudah menjaga keharmonian pasukan terutama buat pemain yang jarang diturunkan.
Saingan Liga Malaysia (Liga M) menyaksikan Selangor kekal tanpa kalah dalam empat perlawanan termasuk perlawanan pusingan 16 pasukan terbaik Piala FA 2024.
Merah Kuning bukan saja berada di tempat kedua Liga Super dengan sembilan mata. Malah, Selangor turut mara bergaya ke suku akhir Piala FA 2024 selepas menewaskan Negeri Sembilan FC 4-0.
Nidzam mengakui dengan hanya 11 pemain boleh diturunkan dalam setiap perlawanan, normal jika ada pemain yang sedih kerana terlepas peluang beraksi dalam kesebelasan utama.
Pada masa sama, jurulatih berusia 44 tahun itu memuji sikap profesionalisme dan semangat berpasukan yang dimiliki anak buahnya demi kejayaan Selangor sebagai satu pasukan.
“Saya selalu nampak perkara ini sihatlah. Ya, sudah tentu dari segi emosinya, pemain akan rasa sedikit sedih. Tapi inilah bola sepak, kita hanya boleh letakkan 11 pemain. Cuma jawapannya, memang bosanlah sebab kita ada 25 pemain yang bagus.
“Tapi saya suka dengan situasi sekarang kerana kesemua pemain mendahulukan pasukan daripada mendahulukan diri sendiri. Kita boleh nampak ada pemain yang tak bermain tetapi masih memberi latihan yang baik.
“Hal ini yang menjadikan pasukan ini berkembang dengan baik. Cuma saya harap perkara ini diteruskan. Sekali lagi, pemain-pemain ini untuk dapat kesebelasan utama ini memang sengit. Tetapi kita cuba urus dengan sebaik mungkin,” katanya dalam temu bual pra-perlawanan yang disiarkan di Astro Arena.
Selangor akan turun menentang wakil negeri Sarawak, Kuching City FC untuk aksi suku akhir pertama Piala FA 2024 pada 29 Jun. Ini disusuli aksi suku akhir kedua pada 6 Julai ini.