Baru-baru ini, peminat bola sepak tanah air dikejutkan dengan khabar yang diperoleh mengenai kematian ayah kepada perancang tengah berbakat pasukan bawah 23 tahun negara, Nik Akif Syahiran yang sedang melakukan persiapan terakhir sebelum berlepas ke Mongolia.
Belaiu telah berjaya menempatkan diri dalam senarai 23 orang pemain yang terpilih bagi membawa cabaran negara dalam saingan Kelayakan Piala Asia yang bakal mempertemukan pasukan negara dengan beberapa buah pasukan lain seperti Thailand, Laos dan juga tuan rumah sendiri.
Sungguhpun begitu, dugaan berat menimpa buat pemain muda Terengganu itu apabila mendapat perkhabaran bahawa ayahnya terlibat dalam sebuah kemalangan.
Namun begitu, Nik Akif dilihat tidak putus semangat malah terus menanamkan semangat juang yang tinggi untuk membantu skuad negara mengharungi kempen kali ini.
Beliau juga ingin merealisasikan hasrat arwah bapanya yang ingin melihat beliau terus melebarkan sayap sebagai pemain bola sepak profesional.
‘Ayah ingin tengok saya berjaya dalam bola sepak.’
‘Walaupun beliau sudah tiada, namun saya akan terus berjuang bagi membantu skuad negara,’-Jelasnya kepada Astro Arena.
Malah, menurut penjelasan beliau, ayahnya merupakan sumber motivasi serta pembakar semangatnya ketika melalui hari-hari yang sukar dalam perjalanan kariernya.
Pemain berusia 22 tahun itu berkongsi pesanan terakhir ayahnya yang mahu beliau melakukan yang terbaik bersama Malaysia.
‘Ayah sempat berpesan untuk saya melakukan yang terbaik.’