Advertisements
Nilai Clayton Melonjak RM1.5 Juta Sejak Main Di Perak
Liga Super
MakanBola
Perak FC

Sejak menyertai Perak FC pada awal musim 2024/25, nilai penyerang import Brazil, Clayton kini mencecah €300,000 (RM1.5 juta).

Ini berdasarkan semakan terbaru nilai bekas penyerang Dynamo Kyiv itu di Transfermarkt. Sebelum ini, nilai beliau mencecah angka sifar selepas meninggalkan kelab lamanya, Hercilio Luz.

Selepas menyertai The Bos Gaurus pada April 2024, nilainya kini mencecah €300,000 (RM1.5 juta). Nilai Clayton hampir menyamai nilainya semasa bersama dua kelab lamanya dari Brazil, Centro Sportivo Alagoano dan Londrina Esporte Clube.

Perubahan nilai ini juga menjadikan beliau antara tiga pemain termahal dalam skuad Perak berdasarkan nilai terbaru Transfermarkt.

Penyerang Croatia, Luka Milunovic kini bernilai €400,000 (RM1.8 juta) di pasaran perpindahan. Sementara Clayton dan kapten Perak, Luciano Guaycochea pula bernilai €300,000 (RM1.5 juta).

Sejak bersama The Bos Gaurus, beliau merekodkan 10 penampilan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), satu gol dan dua bantuan gol.

Bisa Clayton dijangka ditagih pengendali Perak, Yusri Che Lah untuk mengekalkan rekod tanpa kalah pasukan itu sejak kebelakangan ini dalam Liga Super.

Sejak tewas kepada Kuching City FC pada 30 Julai lalu, mereka meraih kemenangan dalam tiga perlawanan termasuk kemenangan 3-0 ke atas Sri Pahang FC.

Rekod ini mahu dilebarkan Perak menjelang aksi liga seterusnya menentang Sabah FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung pada 19 Oktober ini.