Lagenda bola sepak negara, Nizaruddin Yusof meminta agar penyokong terus memberikan sokongan dan mendoakan pemain sayap lincah Malaysia, Arif Aiman.
Pemain berusia 22 tahun itu menjadi tunjang utama buat skuad kebangsaan sejak awal tahun termasuklah ketika beraksi di Piala Asia AFC 2023 di Qatar.
Impak luar biasa itu mula terserlah apabila berdepan Korea Selatan yang menyebabkan Harimau Malaya berjaya mengikat Taeguk Warriors.
Mengulas lanjut, menurut pandangan Razman Roslan, peranan yang biasa dimainkan oleh Arif Aiman dalam liga akhirnya terserlah di Qatar.
“Kalau melihat kepada klip menentang Korea Selatan, itulah perkara yang sering beliau lakukan dalam liga. Gerakan dari bawah, membuat larian solo. Ya mungkin ini tahap yang lebih tinggi tetapi jika beliau boleh melakukannya berdepan Korea Selatan, sudah pasti beliau boleh melakukannya menentang pasukan lain.”
“Satu gol daripada seorang pemain muda yang yakin untuk mengambil penalti itu bukan senang. Kadang-kadang pemain ternama belum tentu boleh masuk.”
Nizaruddin Yusof berharap agar semua pihak berdoa agar Arif Aiman tidak ditimpa kecederaan yang boleh menjejaskan impaknya di atas padang.
“Kita doakan agar Arif Aiman tidak ditimpa kecederaan yang besar sepanjang beliau ingin mendaki ini sebab beliau masih belum berada pada kemuncaknya yang sebenar.”
“Kita harap beliau dapat sampai ke kemuncaknya,” ujarnya kepada Astro Arena.
Gandingan mantap bersama Faisal Halim menyaksikan Harimau Malaya pulang dengan satu mata dan tambahan +12.29 mata FIFA sekaligus membantu negara berada pada kedudukan 132 dunia FIFA.