Pemain SJK Seinajoki, Nooa Laine tidak akan beraksi dalam temasya Sukan Sea di Hanoi pada 7 Mei kelak.
Menurut laporan yang diterbitkan Bernama, nama Nooa Laine tidak akan didaftarkan dalam senarai pemain untuk ke Hanoi. Ini bermakna, kita tidak akan melihat kelibat Laine pada temasya Sukan Sea kali ini.
“Pemain kacukan Malaysia-Finland yang berusia 19 tahun itu tidak akan membuat penampilan pertamanya bersama skuad negara di Hanoi selepas tidak didaftarkan dalam skuad Brad Maloney,” seperti yang dipetik oleh Bernama.
Bagaimanapun, Brad Maloney menjelaskan bahawa prestasi Laine ketika sesi latihan kali ini akan dinilai. Pemain tengah yang kini beraksi di Liga Finland itu telah dipanggil untuk menjalani latihan bersama skuad bawah 23 tahun sejak semalam.
Ujian sebenar buat Laine adalah pada pentas Piala Asia bawah 23 kelak. Kempen Piala Asia B-23 di Uzbekistan akan bermula pada 2 Jun sementara Sukan Asia Hangzhou dijadualkan berlangsung pada September depan.