Malaysia terpaksa akur menamatkan saingan NSDF Futsal Championship 2024 di tempat keempat setelah kecundang kepada Afghanistan dalam aksi penentuan tempat ketiga.
Skuad negara turun dengan misi menebus maruah setelah mencatatkan satu keputusan seri menentang Afghanistan dan dua kali tewas tipis kepada Australia dan Thailand di peringkat kumpulan.
Kedua-dua pasukan terikat seri 3-3 sebelum ini ketika di peringkat kumpulan hasil dua jaringan daripada Awalluddin Mat Nawi dan satu daripada Harith Naim.
Anak-anak buah Rakphol Sainetngam bermula garang dengan jaringan pertama seawal minit keempat menerusi Mahadir Harahap yang menyambar hantaran lintang Faris Johan dari sebelah kanan.
Afghanistan seakan tersentak dan terus membalas dengan jaringan penyamaan empat minit kemudian menerusi pemain tumpuan mereka, Mehram Ghulami yang menolak bola mudah ke gawang gol Malaysia.
Serangan bertali arus Afghanistan selepas itu akhirnya membuahkan hasil apabila kapten pasukan, Akbar Kazemi berjaya meledak gol kedua pada minit ke-17.
Giliran Malaysia pula menjaringkan gol penyamaan menerusi Danial Dain tidak lama selepas itu untuk menjadikan kedudukan kembali terikat 2-2.
Separuh masa pertama berakhir dengan keputusan 2-2.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan semakin rancak merencana strategi bagi mencari gol ketiga dengan beberapa percubaan hampir menggegar gawang.
Kapten Afghanistan, Akbar Kazemi sekali lagi meletakkan pasukannya kembali di depan hasil lambungan cantik menewaskan Syawal Sabaruddin di pintu gol Malaysia pda minit ke-30.
Skuad negara cuba bangkit selepas itu dengan menggunakan formasi power play namun benteng Afghanistan terlalu kebal untuk ditembusi buat kali ketiga.
Tamat aksi, Afghanistan 3-2 Malaysia.
Keputusan ini menyaksikan Afghanistan menamatkan aksi kejohanan jemputan ini di tempat ketiga manakala skuad negara terpaksa akur memperoleh tempat keempat.
Selepas ini, skuad kebangsaan bakal kembali ke tanah air sebelum terbang ke Vietnam bagi siri persahabatan seterusnya di sana sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Futsal Asean di Thailand pada Mei hadapan.