Malaysia mengumumkan senarai pemain futsal yang akan membawa cabaran negara ke kejohanan jemputan di Thailand sebagai persiapan menghadapi kejohanan rantau Asia Tenggara.
Senarai 16 pemain yang mendapat panggilan ini diumumkan melalui siaran media yang dimuatnaik oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di media sosial rasmi.
Skuad kali ini diwakili seramai tujuh pemain dari pasukan pendahulu liga Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL), JDT seperti penjaga gol, Aiman Fikry, Mahadir Harahap, Abu Haniffa, Awalluddin Mat Nawi, Danial Dain, Ridzwan Bakri dan Saad Abdul Sani.
Empat pemain dari Selangor turut dipanggil seperti Syawal Sabaruddin, Faris Johan, Syahir Iqbal Khan dan Syed Aizad Daniel.
Manakala baki pemain dipanggil ialah Hamdin Zarif dan Harith Naim dari Pahang Rangers, Farhan Khairul ( Shah Alam City), Syed Shahrul Niezam (Terengganu) dan Hikmal Firdaus (Sabah).
Skuad futsal kebangsaan akan menghadapi kejohanan jemputan empat penjuru, NSDF Futsal Championship Thailand 2024 di Stadium Nonthaburi dari 24 hingga 28 Mac 2024.
Selepas itu, skuad negara dijadualkan terbang ke Vietnam bagi mengharungi aksi persahabatan di sana pada 5 April 2024.
Ini merupakan persiapan yang diatur oleh ketua jurulatih futsal kebangsaan, Rakphol Sainetngam sebelum turun beraksi di Kejuaraan Futsal Asean di Thailand pada 11 hingga 19 Mei 2024.