Penang FC merekrut pemain sayap Afghanistan, Omid Musawi secara pinjaman dari Selangor FC sehingga akhir musim ini.
Perpindahan pinjaman pemain berusia 25 tahun itu diumumkan pengurusan Sang Harimau Kumbang menerusi satu kenyataan pada Khamis.
“Penang FC dengan bangga memperkenalkan pemain baharu, Omid Musawi yang menyertai pasukan secara pinjaman dari Selangor FC pada jendela perpindahan kedua dan akan bersama Harimau Kumbang sehingga akhir musim.
“Pemain ini akan menyarung jersi nombor 17 sepanjang tempoh bersama pasukan,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Kehadiran Musawi dijangka memberi pilihan tambahan kepada jurulatih Penang, Wan Rohaimi Wan Ismail di bahagian serangan.
Bekas pemain remaja FC Twente itu menjadi rekrut terbaru Penang. Sebelum ini, Sang Harimau Kumbang merekrut pemain sayap Kuching City FC, Nur Shamie Iszuan Amin dan Douglas Coutinho secara pinjaman.
Pasukan utara tanah air itu turut merekrut Arif Shaqirin Suhaimi, Erick Brendon dan pemain pertahanan Filipina, Kamil Jaser Amirul.