Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mahu meningkatkan mutu bola sepak Malaysia dan Indonesia dengan merebut kejuaraan dalam kejohanan bola sepak antarabangsa RCTI Premium Sports.
Kejohanan RCTI Premium Sports bakal berlangsung pada 30 Mei hingga 2 Jun ini di Stadium Antarabangsa Jakarta dan disertai oleh empat pasukan hebat iaitu Selangor FC, Sabah FC, Persija Jakarta dan PSIS Semarang.
Datuk Ong Kim Swee hadir dalam satu sesi sidang media mewakili Sabah yang menggantikan slot pasukan Hanoi FC dan wawancara tersebut turut disertai oleh Dr. Johan Kamal selaku wakil pasukan Selangor.
Menurut pengendali Sabah tersebut, beliau percaya kejohanan besar ini mampu memberikan nilai positif terhadap arena bola sepak Malaysia dan Indonesia dalam meningkatkan lagi kualiti bola sepak negara.
“Apabila tiba di kejohanan nanti, pasukan Sabah dan Selangor sudah beraksi dalam liga dan pastinya dengan dua perlawanan persahabatan bermutu tinggi menentang Persija dan juga Semarang, saya pasti ia akan memberi impak berlainan.
“Seperti Dr Johan kata, kita cemburu apa yang Indonesia lakukan. Sudah pasti kita akan mencuba mempelajarinya. Sudah pasti dengan kejohanan ini, kita akan cuba meningkatkan mutu bola sepak Malaysia dan Indonesia.” ujar Datuk Ong Kim Swee.
Jurulatih berusia 54 tahun itu juga bersedia menewaskan Selangor untuk merebut kejuaraan tersebut selain berpendapat kejohanan ini mampu mencungkil bakat para pemain memandangkan pertandingan ini dianjurkan sewaktu tugasan antarabangsa.
“Saya ingin tewaskan Selangor. Ya, apabila kita beraksi dalam setiap kejohanan, kita ingin mencapai kejayaan tetapi kita juga harus melihat semua faktor di mana kita semua tahu, kita akan bermain tanpa pemain kebangsaan termasuk pasukan Indonesia.
“Jadi, ini satu yang langkah yang baik untuk mengetengahkan pemain lain untuk mendapatkan peluang bermain dalam kejohanan atau perlawanan berintensiti tinggi.” tambah Datuk Ong Kim Swee.
Sabah bakal turun menentang cabaran Penang pada 12 Mei ini dalam aksi pertama Liga Super musim 2024/2025 di Stadium Likas.