Meskipun bakal turun tanpa empat pemain utama, jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee mempunyai perancangan tersendiri menjelang pertemuan menentang Terengganu dalam saingan Piala FA pada Jumaat.
Sabah yang mara ke peringkat suku akhir setelah melakar kemenangan besar 7-0 ke atas KL Rovers pada pusingan pertama dijadualkan menentang jaguh dari Pantai Timur, Terengganu di Gong Badak pada 28 Jun ini.
Walau bagaimanapun, kelab dari Borneo ini bakal hadir ke laman lawan tanpa khidmat empat pemain utama pasukan yang mengalami kecederaan iaitu Darren Lok, Gary Steven Robbat dan dua tonggak import iaitu Miguel Cifuentes dan Gabriel Peres.
“Empat pemain tersebut masih lagi belum pulih selepas berdepan kecederaan dan kemungkinan besar memang tidak akan bersama pasukan ke Terengganu,” ujar beliau kepada Malaysian Football League (MFL).
Tambah jurulatih kelahiran Melaka itu lagi, persiapan pasukan haruslah di tahap terbaik bagi mengekang asakan tuan rumah yang memiliki pemain-pemain serangan berkualiti di samping memburu bekalan gol yang selesa.
“Apa pun kami tetap bersedia dan semua tahu Terengganu mempunyai rekod yang baik di tempat sendiri apatah lagi mereka juga ada ramai pemain berkualiti seperti Akhyar Rashid dan Safawi Rasid.
“Jadi kita sendiri harus berada dalam tahap terbaik untuk memastikan kita tidak kehilangan gol dan perlu meraih keputusan positif Jumaat ini”, jelasnya.
The Rhinos bakal bertandang ke laman Terengganu pada Sabtu dalam aksi suku akhir pertama untuk membawa bekalan selesa sebelum kembali ke Likas bagi perlawanan kedua minggu hadapan.