‘Orang Besi’ Perancis Bakal Rehat Panjang
MakanBola
Equipe de France

Bek tengah Perancis, William Saliba berpotensi berehat antara empat hingga lima bulan jika memilih melakukan pembedahan untuk merawat kecederaan belakang.

The Mirror melaporkan itu antara pilihan yang dipertimbangkan pasukan perubatan Perancis dan kelab beliau, Arsenal untuk merawat kecederaan berkenaan dengan berkesan.

Saliba berdepan masalah tersebut sejak beberapa minggu lalu. Kecederaan itu dilihat semakin serius sehingga memaksa beliau dikeluarkan dalam aksi separuh akhir Piala Dunia antara Perancis dan Sepanyol.

Saliba dikatakan memberitahu rakan sepasukan, Dayot Upamecano bahawa beliau tidak dapat meneruskan sebelum terbaring kesakitan dalam perlawanan tersebut.

Jika bek tengah The Gunners itu menjalani pembedahan, beliau terpaksa melupakan kempen juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu selama tiga bulan.

Sekiranya Saliba berehat panjang, pengurus Arsenal, Mikel Arteta memiliki pilihan dengan memanggil Ben White dan Jurrien Timber sebagai pengganti di posisi berkenaan.

Meskipun begitu, Arsenal juga dilaporkan berminat mendapatkan bek tengah England, Ezri Konsa dari Aston Villa. Isu kecederaan Saliba dijangka memaksa juara EPL itu menilai setiap pemain sasaran termasuk Konsa sebagai sokongan di bahagian pertahanan.

Perancis memiliki ramai pemain yang mampu mengisi posisi Saliba menjelang aksi penentuan tempat ketiga menentang England. Antaranya Jules Kounde, Ibrahima Konate dan Maxence Lacroix.