Jaguh perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia mara ke suku akhir selepas menewaskan Srikanth Kidambi dalam pusingan kedua Orleans Masters.
Setelah menewaskan Chi Yu Jen di pusingan pertama, Zii Jia turun menentang Srikanth Kidambi dengan misi besar bagi melangkah ke suku akhir di Perancis.
Rekod lampau menyaksikan Zii Jia memiliki kelebihan apabila mencatatkan empat kemenangan dalam enam aksi berdepan Kidambi. Namun begitu, pertemuan terakhir dimenangi oleh pemain India ini.
Kidambi pernah menewaskan Zii Jia dalam pusingan kedua Swiss Open 2024. Beliau menang dengan keputusan 21-16, 21-15.
Pertarungan di gelanggang satu menyaksikan pada awalnya, Kidambi mendahului pada kedudukan 7-4. Zii Jia berjaya mengejar sebelum mendahului pada kedudukan 11-8.
Kelebihan itu terus dipertahankan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu sebelum menang dengan keputusan 21-11.
Set kedua menyaksikan Kidambi cuba bangkit. Pemenang pingat perak Sukan Asia 2022 itu pada awalnya mendahului pada kedudukan 3-0.
Zii Jia bangkit mengejar sebelum menyamakan kedudukan 5-5. Juara Thailand Open 2024 itu kemudiannya selesa mendahului pada kedudukan 11-5.
Kidambi berusaha memberi tentangan sengit kepada Zii Jia. Pada akhirnya, bekas juara All England Open 2021 itu tetap unggul dengan meraih kemenangan 21-17.
Pentas suku akhir menyaksikan Zii Jia akan berdepan sama ada Yushi Tanaka dari Jepun atau wakil Ireland, Nhat Nguyen.