Padang Stadium Darul Makmur, Kuantan Pahang kini berubah wajah.
Gelanggang keramat pasukan Sri Pahang itu tidak dapat digunakan susulan kerja-kerja penambahbaikan sedang dijalankan.
Hal ini termasuklah penukaran padang dan sistem saliran yang sedang giat dijalankan ketika ini.
Perkembangan terbaru oleh Perbadanan Stadium Darul Makmur mengemas kini kerja-kerja penukaran padang yang berlaku di Darul Makmur.
Kerja-kerja pemindahan rumput sedang dilakukan bagi tujuan pemindahan ke Kelab Golf Diraja Pahang yang sudah berlaku sejak dua hari yang lalu.
“Proses ini berlak sebelum membuka penuh padang Stadium Darul Makmur untuk ditukar ke rumput baharu oleh kontraktor yang dilantik.
PSDM difahamkan memohon peruntukan RM7 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menaik taraf Stadium Darul Makmur yang berusia 51 tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata peruntukan itu bagi menaik taraf lampu limpah, bumbung dan tempat duduk penonton.
Bukan sahaja lampu limpah yant mahu dinaik taraf, ia turut membabitkan pendawaian, bumbung stadium yang mengalami kebocoran serta kerusi tempat duduk untuk keselesaan penonton.
“Kami harap permohonan RM7 juta ini dipertimbangkan kerajaan melalui KBS untuk memastikan Stadium Darul Makmur memiliki kemudahan terbaik,” katanya.
Stadium Darul Makmur difahamkan bakal menggunakan padang jenis Bermuda bagi menggantikan padang Lembu yang digunakan ketika ini.