Pakar nutrisi pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Vanesa Rotondi telah memilih untuk meninggalkan pasukan selepas menjulang Piala FA 2024/25.
Individu penting di balik tabir skuad Harimau Selatan itu telah mengesahkan perpisahannya bersama JDT menerusi satu hantaran di laman sosialnya hari ini.
Pemilik nama sebenar Vanesa Soledad Rotondi telah menjadi pilihan untuk menggalas tugas yang berkaitan hal ehwal pemakanan di JDT bermula pada tahun 2022.
Rotondi yang juga merupakan bekas pakar nutrisi yang berkhidmat bersama salah sebuah kelab gergasi di Argentina iaitu Boca Juniors akan bertindak untuk menyelia diet dan juga nutrisi para pemain di JDT.
Usaha ini juga termasuklah bagi menyediakan pelan pemakanan individu selain membekalkan nutrisi mengikut keperluan para pemain dari semasa ke semasa.
Langkah ini juga menunjukkan bahawa JDT bukan sahaja menitikberatkan aspek-aspek seperti fasiliti bola sepak dan latihan yang berkualiti semata-mata malah turut menekankan kepentingan terhadap peranan sains sukan.
Beliau bagaimanapun mengumumkan perpisahan selepas 3 tahun berkhidmat di Malaysia bersama JDT.
“Kita apabila kita memberikan yang terbaik. Saya amat gembira dapat berkongsi 3 tahun dengan pasukan yang hebat ini. Terima kasih kepada setiap pemain, kakitangan kejurulatihan, rakan sekerja yang menerima dan membantu saya.
“Saya akan dipenuhi dengan pengalaman berharga seumur hidup. Terima kasih kepada bos saya yang pemurah, individu yang bijak dan menepati kata-katanya (DYAM Tunku Ismail).
Vanesa juga mengakui bahawa keputusan untuk meninggalkan JDT amat sukar untuk dilakukannya.
“Kepada mereka yang membawa saya ke kelab ini dan kepada mereka yang mengesyorkan saya, terima kasih semua atas sokongan dan tahun-tahun yang menakjubkan. Ucapan selamat tinggal yang paling sukar,” ujarnya.