Dua jurulatih terkemuka Liga Super merungkaikan pandangan masing-masing berkenaan pasukan terkuat bagi musim 2024/25.
Saingan Liga Super memasuki minggu ke-4 dengan beberapa pasukan dapat mengekalkan rentak terbaik sejak awal musim.
Prestasi sama juga berjaya dibawa memasuki kempen Piala FA sungguhpun terdapat beberapa keputusan perlawanan yang mengejutkan.
Menurut pandangan Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah, beliau berpendapat bahawa Terengganu FC ialah pasukan terbaik setakat ini setelah bertemu dua kali pada musim ini.
“Kita tidak memberi laluan yang mudah kepada Terengganu. Dalam tempoh 3 minggu rehat ini kita gunakan sebaik mungkin untuk melakukan persiapan dan melayakkan diri ke pusingan seterusnya.
“Kita juga sedar bahawa Perak berdepan dengan pasukan terbaik ketika ini dan sudah pasti Terengganu melihat apa yang kita sudah lakukan dalam perlawanan terakhir liga menentang Kedah,” jelas Yusri.
Keadaan ini berbeza buat pengendali Negeri Sembilan, Azzmi Aziz yang melihat kekuatan pemain yang dimiliki pasukan gergasi Lembah Klang itu menyebabkan pasukan itu sukar dicabar skuad Rusa.
“Gol mudah, gol lembut bagi dekat Selangor. Kita orang kena akui dari awal, mereka memang satu pasukan yang bagus selepas JDT.
“Tapi bila kita tak cukup mantap, tak persembahkan apa yang lebih baik atau yang kita jangka macam mana kita buat persiapan untuk perlawanan ini, secara serius sangat mengecewakan untuk saya,” ujarnya.
Saingan Liga Super minggu ke-4 akan bermula pada Jumaat, 21 Jun 2024 hingga Ahad 23 Jun 2024.