Advertisement
Pandangan Berbeza Tentang Gol Romel Morales Lawan Oman
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Selepas Malaysia tewas 2-0 kepada Oman pada awal pagi tadi, satu perkara yang menjadi bualan hangat penyokong ialah gol Romel Morales yang dibatalkan pengadil.

Gol yang disumbang Issam Al Sabhi dan Muhsen Al-Ghassani sudah cukup memastikan kemenangan buat tuan rumah.

Bagaimanapun, gol Morales yang dibatalkan pengadil pada minit ke-80 menjadi bualan hangat penyokong.

Skuad negara menyangka mendapat talian hayat apabila penyerang Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) itu berjaya melepasi pemain Oman, Mohammed Al-Musalami sebelum menjaringkan gol.

Malangnya, gol Morales kemudiannya dibatalkan oleh pengadil atas alasan penyerang berdarah Colombia itu berada pada kedudukan ofsaid.

Pengguna X, Hal Ehwal Pengadil (HEP) menyifatkan keputusan tersebut sebagai satu kesilapan dan gol bekas penyerang KL City FC itu patut dikira.

HEP turut memetik peraturan ke-11 Lembaga Bola Sepak Persatuan Antarabangsa (IFAB) berkenaan kesalahan ofsaid sebagai rujukan kes Morales.

“Gol Malaysia yang dibatalkan kerana ofsaid tadi itu sepatutnya gol yang sah. Pemain Oman telah “sengaja memainkan” bola tersebut.

“Jadi pemain Malaysia (Romel Morales) boleh memainkan bola tersebut walaupun berada di kedudukan ofsaid. Penolong pengadil satu membuat silap besar hingga satu gol dibatalkan!” katanya.

Malaysia berharap dapat bangkit semula untuk aksi kedua menentang Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 26 Mac ini.