Ramai peminat bola sepak Selangor FC teruja apabila melihat papan tanda baru yang dipasang di Stadium MBPJ semalam.
Menerusi gambar yang dimuatnaik pemilik akaun X, Selangor Power Sampai Kiamat (SPSK), papan tanda LED yang dipasang memaparkan imej ayat “Home of Selangor FC”.
Ayat “Home of Selangor FC” kelihatan menonjol dengan penggunaan warna kuning pada setiap perkataan dan warna merah sebagai warna latar belakang.
Selain ayat “Home of Selangor FC”, papan tanda LED itu turut memaparkan imej logo pasukan. Ini sejajar dengan Stadium MBPJ sebagai gelanggang rasmi Selangor untuk musim 2024/25.
Selain digunakan untuk aksi Liga Malaysia (Liga M), Stadium MBPJ juga bakal menjadi gelanggang rasmi Merah Kuning untuk Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Selangor layak ke kejohanan berstatus benua anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) itu selepas muncul naib juara Liga Super musim 2023.
Lantas, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menggerakkan proses penaiktarafan infrastruktur stadium agar memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh AFC.
Sebaik imej papan tanda “Home of Selangor FC” dimuatnaik ke X, ramai penyokong teruja dengan imej berkenaan.
Ini kerana imej papan tanda tersebut bukan saja nampak menyerlah dan terang. Malah, ini dilihat bersesuaian dengan salah satu nama jolokan Selangor iaitu Merah Kuning.
Stadium MBPJ menjadi tuan rumah kejohanan pra-musim, Selangor Asia Challenge (SAC) 2024 yang bermula pada hari ini sehingga 28 April.
SAC 2024 menampilkan Selangor, Balestier Khalsa (Singapura), Young Elephants (Laos) dan Duli Pengiran Muda Mahkota FC (DPMM FC).
Selangor bakal membuka tirai cabaran SAC 2024 dengan menentang DPMM pada jam 9.00 malam ini.