Penyokong Selangor FC terus memberi sokongan padu kepada pasukan gergasi Lembah Klang itu menjelang musim 2025/26.
Ini selepas pengurusan Merah Kuning memaklumkan pas bermusim Grandstand pasukan itu sudah habis dijual.
“Terima kasih kepada semua penyokong Red Giants yang telah mendapatkan pas Grandstand untuk Pas Bermusim SFC Musim 2025/26!” kata kelab dalam satu kenyataan.
Sebaik pengumuman itu disiarkan di platform rasmi Selangor, ramai penyokong menyambut baik berita berkenaan.
Pada masa sama, mereka berharap Merah Kuning dapat menampilkan prestasi lebih baik di atas padang. Antara yang berkongsi sentimen itu ialah seorang penyokong bernama Putra Putih.
“Tahniah kepada semua penyokong Red Giants. Tolong bagi persembahan yang terbaik untuk musim ini, Selangor FC . Pilihlah pemain import yang berkualiti tinggi. Bagi persembahan yang memukau pada kami,” katanya di ruang komen Facebook.
Seorang lagi penyokong Selangor bernama Ahmad Fauzan Mohd Zaki menyifatkan sambutan penyokong terhadap pas bermusim kali ini menakjubkan.
“Mengagumkan, (sokongan ini) cukup ikhlas dari hati. Teruskan sokongan. Jumpa anda dalam perlawanan tempat sendiri kita, semua,” katanya.
Penyokong Selangor yang masih belum mendapatkan pas bermusim boleh mendapatkan pas terbuka dan kanak-kanak. Pas terbuka berharga RM199 dan kanak-kanak (RM49).