Harimau Malaya bakal berdepan cabaran dari pasukan kelompok 90 dunia dalam misi seterusnya tahun ini.
Skuad kendalian Peter Cklamovski menutup kempen Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 pada kedudukan kedua Kumpulan F, sementara Vietnam muncul juara untuk menempah tiket ke Arab Saudi.
Secara keseluruhan, Malaysia merekodkan tiga kemenangan dan tiga kekalahan peringkat kumpulan setelah dua kemenangan pasukan kebangsaan dibatalkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Ujian Harimau Malaya bagaimanapun tidak terhenti di sini apabila bakal berdepan satu lagi kejohanan iaitu ASEAN Hyundai Cup 2026 bermula Julai.
Skuad kebangsaan telah diundi dalam Kumpulan B. Pasukan negara yang menduduki tangga ke-138 dunia bakal membuka tirai saingan bertemu Myanmar pada 25 Julai 2026.
Seterusnya, Laos bakal menjadi lawan kedua Malaysia pada 28 Julai disusuli aksi berdepan pasukan tangga ke-93 dunia, Thailand pada 1 Ogos 2026.
Filipina dijadua menjadi aksi terakhir kumpulan buat anak buah Cklamovski dalam misi untuk menebus kedukaan peringkat kelayakan.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia menang ke atas skuad Gajah Perang adalah pada tahun 2023 di ASEAN Championship dengan keputusan 1-0.
Thailand masih segar dengan kejayaan muncul juara Kumpulan D sekali gus layak ke pentas Piala Asia 2027 Arab Saudi.