Pasukan Ke-159 Dunia Jerat Poland

Poland Moldova Pasukan Ke-159 Dunia Jerat Poland
LaczyNasPilka
Nik Faris @nikfalovic
3:22pm 16/10/2023

Pasukan kebangsaan Poland berada dalam prestasi yang merisaukan selepas hampir-hampir dimalukan oleh pasukan kerdil setelah diikat dengan keputusan 1-1.

Poland yang menghuni tangga ke-30 dunia berdepan Moldova dalam usaha untuk memungut mata penting FIFA namun terjejas dengan kejutan daripada pihak lawan.

Perlawanan yang berlangsung di gelanggang keramat Poland itu menyaksikan mereka tidak dapat menurunkan penyerang berbisa pasukan, Robert Lewandowski kerana kecederaan.

Pasukan pelawat terlebih dahulu mencemaskan tuan rumah selepas penyerang Moldova, Ion Nicolaescu menjaringkan gol pada minit ke-25.

Poland hampir menyamakan kedudukan namun percubaan Wszolek pada minit ke-32 berjaya ditempis penjaga gol lawan.

Keputusan babak pertama tamat 1-0.

Bersambung babak kedua, anak buah Michał Probierz berjaya menyamakan kedudukan apabila hantaran pemain bintang pasukan, Ziellinski berjaya disudahkan oleh Swiderski pada minit ke-56.

Usaha gigih Poland terhalang tatkala Moldova lebih banyak bermain secara bertahan dan hanya merekodkan 28 peratus penguasaan bola sepanjang 90 minit beraksi.

Tambahan masa lima minit tidak berjaya mengubah keputusan perlawanan untuk kekal hingga wisel penamat.

Moldova berjaya mencuri tambahan +8.35 mata FIFA untuk naik satu ke tangga 158 dunia.