Pendatang baru Thai League 1, Pattani FC sedia menimbang kemungkinan menjalinkan kerjasama dengan dua kelab gergasi Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC.
Kemungkinan itu dikongsikan presiden kelab, Profesor Madya Dr. Worawit Baroo apabila ditanya tentang strategi kelab selatan Thailand itu menghadapi musim 2026/27.
Worawit berpandangan Pattani perlu merangka strategi bijak dari segi pembelian pemain jika mahu bersaing dalam saingan liga utama Thailand itu.
Atas sebab itu, beliau tidak menolak kemungkinan mengadakan kerjasama dengan JDT dan Selangor. Ini kerana sebarang langkah yang diambil Pattani perlu mengambil kira kuota pemain import pasukan itu musim hadapan.
“Kami masih berbincang tentang pendekatan terbaik berhubung kuota pemain import,” katanya seperti dilaporkan SNE Sports.
“Kami melihat ke arah wilayah selatan (Semenanjung Malaysia) dan berhubung dengan kelab-kelab seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC.”
Selain dua kelab gergasi Malaysia itu, Worawit juga tidak menolak untuk mengintai pemain-pemain dari kelab-kelab yang berpangkalan di Turkiye dan Arab Saudi.
Ini kerana kelab-kelab Arab Saudi dan Turkiye memiliki ramai pemain import. Justeru, Pattani turut menimbang kemungkinan mendapatkan pemain-pemain dari kelab-kelab dua negara itu secara pinjaman.
“Pada akhir Jun, kita harap untuk melawat Turkiye dan Arab Saudi. Jika ada pemain-pemain yang tidak digunakan kelab-kelab di sana, mungkin mereka boleh dipinjamkan kepada kita,” tambahnya.
“Kita boleh menyediakan kemudahan tempat tinggal, makanan dan kemudahan sokongan penuh. Kita percaya kita ada keupayaan untuk realisasikannya dan ini antara idea kita sedang pertimbangkan.”
Pattani layak ke Thai League 1 selepas mengatasi Nongbua Pitchaya dalam aksi playoff . Selepas terikat 3-3 secara agregat, Pattani layak dengan menewaskan kelab itu menerusi penentuan sepakan penalti.