Menjelang aksi pertama Liga Super membabitkan KL City dan Penang yang berlangsung esok, satu berita baik menggembirakan penyokong Harimau Malaya. Ini selepas CEO KL City, Stanley Bernard mendedahkan kapten, Paulo Josue kini berstatus sebagai pemain naturalisasi.
Dengan Josue kini berstatus pemain naturalisasi, ini memberi lebih banyak ruang kepada jurulatih Bojan Hodak untuk menurunkan awang import City Boys dalam kesebelasan utama.
“Dia (Josue) kini mempunyai kapasiti untuk menyumbang semula kepada negara. Apa saja kepakaran yang diberinya selepas bersara, itu pandangan jangka panjang. Tetapi untuk jangka pendek, dia kapten kami,” kata Stanley bila ditemubual Karl Nunis untuk Astro Arena.
Sebelum ini, KL City mendedahkan Josue dan penyerang Colombia, Romel Morales semakin hampir mendapatkan status sebagai pemain naturalisasi. Dengan Josue sudah mendapat status tersebut, giliran Morales bakal menyusul tidak lama lagi.
Pendedahan Stanley ini bakal menggembirakan jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon. Ini kerana ini akan menambah pilihan jeneral di bahagian tengah skuad kebangsaan Malaysia dan pengalaman kepimpinan sebagai kapten pasukan.