PDRM FC bakal mengharungi satu lagi aksi persahabatan antarabangsa apabila mereka menentang kelab Liga 1 Indonesia, Semen Padang.
Perkara ini disahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan, Win Bernadino. Beliau melihat aksi ini sebagai peluang terbaik buat anak buah Eduardo Almeida memperbaiki kelemahan pasukan sebelum aksi menentang PSM Makassar pada 21 November.
“Intinya yang ingin kami dapatkan ialah penambahbaikan sepanjang tempoh kalendar antarabangsa FIFA oleh jurulatih (Eduardo Almeida) bersama pemain.
“Kemudian penambahbaikan itu bisa diterapkan untuk pertandingan seterusnya sehingga pusingan pertama berakhir.
“Harapan jurulatih ialah bisa mencuba pelbagai strategi sebagai penilaian terutama menghadapi perlawanan seterusnya di Liga 1 melawan PSM Makasar, 21 November nanti,” katanya kepada Radio Republik Indonesia (RRI).
Perlawanan ini bakal berlangsung di Stadium Haji Agus Salim Padang pada 16 November ini. Sang Saka Biru yang dibimbing P. Maniam bakal menurunkan skuad terkuat untuk aksi persahabatan berkenaan.
Antara tonggak pasukan yang dibawa ke Indonesia ialah Bruno Suzuki, Fadi Awad, Ifedayo Olusegun, Shahrel Fikri Md. Fauzi dan Bryan See.
Ini aksi persahabatan kedua yang dihadapi PDRM pada November. Sebelum itu, mereka menjadi lawan pasukan yang menduduki ranking ke-168 dunia, Chinese Taipei.
Meskipun berstatus kelab, Sang Saka Biru berjaya mengikat The Blue Wings 1-1. Penyerang pinjaman Perak FC, Hadi Fayyadh Abdul Razak menyumbat gol penyamaan PDRM.
PDRM dijangka bersua dengan beberapa nama yang tidak asing dalam saingan Liga Malaysia (Liga M). Antaranya ialah Almeida dan pemain tengah Brazil, Bruno Dybal.
Pengendali Portugal itu pernah melatih beberapa pasukan Liga M seperti T-Team (kini Terengganu FC II) dan Melaka United FC. Sementara Dybal pula merupakan sebahagian daripada pasukan naib juara MFL Challenge Cup 2023, Kuching City FC.