Dengan Liga Super bakal bermula esok menerusi Perlawanan Sumbangsih, pasukan-pasukan mula memuktamadkan senarai pemain import masing-masing. Dan semalam, PDRM telah melengkapkan sembilan pemain import untuk musim 2023.
Dua pemain yang melengkapkan senarai awang import Sang Saka Biru ialah Jacque Faye dan Chukwu Nnabuike Chijioke. Faye, 26, beraksi di bahagian tengah dengan Chijioke, 29, pula merupakan penyerang.
Faye dan Chijioke menyertai Bruno Suzuki, Fadi Awad, Uche Agba, Marcus Macauley, James Okwuosa dan Kyaw Min Oo sebagai awang import PDRM musim ini. Kedua-duanya pernah beraksi bersama pasukan Liga M3, Ultimate FC.
Kehadiran Faye dan Chijioke dilihat dapat membantu jurulatih Azzmi Aziz merencana pasukan mantap untuk saingan liga musim ini. PDRM bakal menentang Sabah untuk perlawanan pertama Liga Super di Stadium Likas pada Sabtu ini.