Aksi persahabatan antarabangsa pada Sabtu menyaksikan PDRM terpaksa akur terikat seri berdepan wakil Indonesia, Semen Padang.
Sebagai persiapan menghadapi Piala Malaysia, PDRM telah terbang ke Indonesia dan mengatur satu aksi persahabatan bertemu Semen Padang yang kini berada di tangga tercorot liga.
Trio serangan ditunjangi Bruno Suzuki, Shahrel Fikri dan Hadi Fayyadh menjadi taruhan PDRM sambil kesebelasan utama Semen Padang diketuai tonggak tengah, Rosad Setiawan.
Permainan berlangsung baik sebelum PDRM terlebih dahulu mencetak gol pertama menerusi penyudah berbisa daripada penyerang import, Bruno Suzuki seawal minit ke-11.
Usaha tuan rumah bagi mencari jaringan penyamaan temui hasil apabila pemain berusia 18 tahun, Gala Pagomo berjaya menembusi gawang PDRM yang dikawal Hakeem Hamidun.
Kegembiraan tuan rumah tidak bertahan lama apabila PDRM kembali memimpin perlawanan dengan jaringan kedua yang dihasilkan Shahrel Fikri ketika aksi menuju rehat.
Separuh masa pertama tamat, Semen Padang 1-2 PDRM.
Kembali dari rehat, Semen Padang semakin rancak memburu gol kedua dan hasilnya bek tengah, Tin Martic menyamakan kedudukan 2-2 lima minit bersambung babak kedua.
Beberapa pertukaran dilakukan oleh kedua-dua pasukan di pertengahan permainan dengan jurulatih PDRM, P. Maniam mengambil peluang menguji pemain di bangku simpanan.
Aksi di Stadium Haji Agus Salim berakhir dengan keputusan 2-2.
PDRM akan kembali ke Malaysia untuk melakukan persiapan sebelum turun bertemu Negeri Sembilan dalam saingan Piala Malaysia pada 24 Ogos ini di Stadium Paroi.