Pearly Tan-Thinaah Bakal Bergelar Beregu Ke-3 Dunia
UltraSukan
MSN Malaysia

Pasangan beregu wanita Malaysia, Pearly Tan-M. Thinaah bakal melonjak ke ranking ke-3 dunia.

Kejayaan ini dicapai oleh Pearly-Thinaah sebaik pasangan negara ini berjaya merangkul gelaran naib juara Indonesia Open 2025 setelah tumbang di tangan Liu Sheng Shu-Tan Ning.

Pada aksi final yang berlangsung pada Ahad, Pearly-Thinaah mempamer aksi luar biasa apabila memberi tentangan sengit kepada pasangan dari China ini yang juga merupakan pilihan pertama kejohanan.

Walau bagaimanapun, pertarungan epik selama 87 minit itu akhirnya dimenangi Sheng Shu-Tan Ning dengan keputusan 23-25, 21-12, 21-19 dan Pearly-Thinaah akur muncul selaku naib juara.

Gelaran naib juara yang dirangkul oleh Pearly dan Thinaah ini juga hadir dengan tambahan mata ranking yang melonjakkan kedudukan mereka ke tangga ke-3 dunia pada minggu akan datang.

Perkiraan awal oleh laman Shuttlehard mengesahkan Pearly-Thinaah bakal muncul sebagai pasangan beregu wanita ke-3 dunia menjelang kemas kini ranking BWF pada 10 Jun nanti.

Untuk rekod, kedudukan ke-3 dunia adalah ranking tertinggi yang pernah dicapai oleh Pearly Tan-M. Thinaah sepanjang perjalanan karier mereka beraksi bersama sejak tahun 2019 lagi.

Malah, Pearly-Thinaah juga mengikuti langkah bekas beregu wanita Malaysia iaitu Chin Ee Hui-Wong Pei Tty yang pernah menghuni ranking ke-3 terbaik dunia suatu ketika dahulu.