Kelibat penggempur utama PSM Makassar, Nermin Haljeta tidak kelihatan ketika perlawanan menentang Terengganu telah mencetuskan tanda tanya.
PSM Makassar hadir ke Gong Badak kali ini dengan status pendahulu kumpulan A dengan 7 mata apabila meraih dua kemenangan dan satu keputusan seri dalam 3 aksi sebelum ini.
Walau bagaimanapun, satu demi satu rintangan terpaksa ditempuh oleh PSM Makassar apabila terdahulu dilaporkan terpaksa mengharungi perjalanan panjang sebelum tiba di Malaysia.
”Malangnya persiapan pasukan tidak berjalan lancar, kami harungi perjalanan yang agak jauh kerana tidak mendapat penerbangan terus ke Kuala Lumpur,” ujar jurulatih, Bernando Tavares.
Ini ditambah lagi dengan ketiadaan penyerang utama, Nermin Hajelta yang tidak dapat bersama pasukan atas sebab-sebab tertentu meski kelibat pemain ini ditemui di sesi sidang media pada Selasa.
”Semalam, kami kehilangan seorang pemain kerana atas sebab-sebab tertentu, beliau tidak dapat bersama kami malam ini (Rabu) iaitu penyerang kami (Nermin Haljeta),” kata Tavares lagi.
Apabila ditanya punca di sebalik ketiadaan Haljeta untuk aksi penting ini, Tavares dengan sinis meminta supaya soalan itu ditujukan kepada pihak kelab kerana beliau juga tidak miliki jawapan.
”Perlu tanya pihak kelab, saya sendiri tidak tahu atas sebab apa,” jawab Bernando Tavares kepada Astro Arena sebelum aksi.
Nama Nermin Haljeta sememangnya menjadi tumpuan pada pertembungan kali ini apabila peledak berbisa dari Slovenia itu telah mencatat 8 gol dalam 18 penampilan bersama PSM Makassar musim ini.
Keputusan di Gong Badak pada Rabu menyaksikan PSM Makassar tumpas 1-0 di tangan Terengganu dengan gol tunggal perlawanan menerusi sepakan penalti Safawi Rasid.
Perlawanan terakhir peringkat kumpulan A akan menyaksikan Terengganu bertandang ke laman BG Pathum manakala PSM melayani kunjungan Thanh Hoa di gelanggang sendiri pada 5 Februari.