Pengendali Terengganu, Badrul Afzan tidak mahu memberi tumpuan kepada masalah yang dihadapi oleh pihak lawan, PSM Makassar menjelang aksi Shopee Cup pada Rabu.
Terdahulu, ketua jurulatih PSM Makassar, Bernando Tavares akui persiapan skuadnya tidak berjalan lancar apabila tidak dapat terbang terus ke Kuala Lumpur akibat kesilapan pihak kelab.
”Malangnya, persiapan kami tidak seperti yang diharapkan. Kami bermain pada 18 Januari lalu, tetapi pihak kelab tidak menempah penerbangan terus daripada Balikpapan ke Kuala Lumpur.”
Oleh itu, Tavares berkata mereka perlu terbang ke Jakarta terlebih dahulu sebelum sampai ke ibu negara dan perlu menempuh perjalanan ke Terengganu tidak lama kemudian.
”Jadi, ini bermakna kami mempunyai tambahan 1 hari untuk terbang ke sini kerana dari Balikpapan ke Jakarta dan baru tiba ke Kuala Lumpur,” kata Tavares ketika sidang media
”Kami tiba di hotel penginapan pada jam 1 pagi, masa yang tepat untuk pemain berehat sebelum ke Terengganu pada awal pagi kemudian.”
Di sebalik masalah itu, Badrul Afzan dengan tenang enggan mengulas lebih lanjut dan memilih untuk memberikan fokus yang penuh buat pasukan kendaliannya pada ketika ini.
”Bagi saya, kami perlu fikir pasukan kami dan tak perlu fikir mengenai PSM Makassar walaupun mereka ada masalah untuk terbang ke sini atau apa pun,” jawab Badrul Afzan.
Aksi Terengganu vs PSM Makassar akan berlangsung pada Rabu, 22 Januari ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 9 malam.