Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) kini hanya satu langkah sebelum mengesahkan tempat dalam kelompok 8 pasukan terbaik Asia di Arab Saudi.
Ketika ini, skuad JDT yang dibimbing oleh Hector Bidoglio sedang bersaing hebat di pentas AFC Champions League Elite (ACLE) yang sudah memasuki pusingan 16 terbaik.
Pasukan gergasi dari Thailand, Buriram United bakal menjadi halangan terakhir untuk JDT pada Selasa dengan kedua-dua pasukan hanya terikat seri tanpa jaringan dalam aksi pertama minggu lalu.
Menariknya, ini adalah pertemuan ketiga membabitkan dua gergasi Asia Tenggara ini bagi saingan ACLE musim ini dengan dua aksi terdahulu berakhir dengan keputusan seri 0-0.
Andai prestasi semasa menjadi ukuran, JDT dilihat berada di tahap lebih baik apabila mencatat 4 kemenangan serta satu seri tatkala Buriram merekodkan dua kemenangan dan 3 kali seri.
Malah, JDT juga bakal menerima sokongan padu daripada lebih 30 ribu peminat setia Harimau Selatan di gelanggang keramat mereka apabila dikhabarkan tiket perlawanan ini telah habis terjual.
Pemenang antara JDT vs Buriram ini bakal mara ke peringkat suku akhir ACLE di Arab Saudi pada April sekaligus menjadi wakil tunggal Asia Tenggara yang berada dalam kelompok 8 kelab terbaik Asia.
Aksi JDT vs Buriram United akan berlangsung pada Selasa, 11 Mac di Stadium Sultan Ibrahim dengan sepak mula tepat jam 8 malam waktu Malaysia.