Selepas melakar kejutan dengan mengikat pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) kelmarin, difahamkan pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bakal menerima imbuhan daripada pihak pengurusan.
Perkara tersebut telah dikongsikan oleh CEO KDA FC, Khamal Idris Haji Ali yang telah dimuatnaik di laman Facebook rasmi pasukan.
“Di pihak kita (pengurusan KDA FC), dengan JDT ni, kita ada jumlah imbuhan yang berbeza berbanding dengan pasukan-pasukan lain. Secara kebiasaannya, bonus kita akan bagi apabila menang sahaja, namun apa yang jadi pada malam ini (perlawanan menentang JDT), walau seri sekali pun, bonus itu tetap kita akan bagi,” jelas Khamal seperti yang disiarkan di Facebook KDA FC.
Khamal turut berterima kasih kepada para pemain yang sangat berdisiplin serta mengikuti arahan taktikal yang diberikan jurulatih, Nafuzi Zain.
“Terima kasih banyak-banyak kepada pasukan (KDA FC) yang berdisiplin dan bermain dengan arahan taktikal jurulatih. Secara peribadi, saya pun terkejut dengan persembahan yang diberikan,” jelasnya lagi.
Kedah kini di tangga ke-3 liga ketinggalan lima mata daripada pasukan di tangga kedua liga, Selangor FC. Namun begitu, Kedah masih kekurangan satu perlawanan berbanding Selangor. Tempat kedua Liga Super menjadi rebutan beberapa pasukan untuk tiket ke Piala AFC musim hadapan.