Pemain Liga 4 Indonesia Tendang Dada Lawan Digantung Seumur Hidup
MakanBola
PSSI Jatim

Seorang pemain Indonesia yang beraksi dalam saingan Liga 4 Kapal Api Piala Gabenor Jawa Timur dikenakan penggantungan seumur hidup oleh PSSI.

Detik Sport melaporkan Hilmi Gimnastiar dikenakan hukuman tersebut oleh Jawatankuasa Disiplin PSSI Wilayah Jawa Timur.

Ini susulan tindakannya menendang pemain lawan, Firman Nugraha dalam aksi liga membabitkan Putra Jaya Pasuruan dan Perseta 1970 Tulungagung.

Insiden itu menyebabkan Firman mengalami kecederaan di bahagian dada dan dibawa ke hospital untuk menjalani rawatan.

Tindakan ganas Hilmi turut menjadi bualan peminat bola sepak Asia Tenggara. Ini kerana video insiden tersebut tular di media sosial.

Selain itu, Putra Jaya Pasuruan turut bertindak memecat Hilmi atas apa yang berlaku. Pengurusan kelab menyifatkan tindakannya bertentangan dengan semangat kesukanan yang menjadi teras pasukan itu.

Putra Jaya juga bertindak memecat pentadbir akaun Instagram kelab itu. Ini susulan tindak-tanduk pentadbir akaun yang cuba mempertahankan Hilmi menyebabkan Putra Jaya dikecam peminat bola sepak Indonesia.

Meskipun dikenakan penggantungan seumur hidup, Hilmi masih diberi peluang membuat rayuan.