Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus mendedahkan pemain pasukan itu bakal dipinjamkan kepada sebuah pasukan yang berpangkalan di luar negara.
Perkara ini dinyatakan sendiri Faliq menerusi satu ciapan di X pada 14 Julai lalu. Beliau memaklumkan ini sebahagian daripada strategi jangka panjang Negeri Sembilan untuk meningkatkan kualiti pasukan itu.
Strategi ini tidak hanya terpakai kepada pemain sahaja. Faliq turut memaklumkan Pengarah Teknikal Negeri Sembilan, Efendi Malek dan barisan jurulatih pasukan itu akan turut didedahkan dengan pengetahuan dan pengalaman kepakaran dari luar negara.
“Pemain tempatan terbaik Negeri Sembilan akan dipinjamkan ke luar negara. Pengarah Teknikal NSFC dan barisan jurulatih akan diberi pendedahan di peringkat antarabangsa.
“Pemindahan kepakaran maklumat teknikal dan luar negara. (Strategi ini) untuk jangka masa panjang (skuad Negeri Sembilan),” katanya di X.
Apabila ditanya sama ada strategi ini bakal dilaksanakan untuk skuad utama Hoben Jang Hoben, Faliq memaklumkan itu tidak berlaku. Ini kerana pemain yang akan menjadi fokus ialah pemain Bawah 23 Tahun (B-23) dan Bawah 20 Tahun (B-20).
Faliq percaya apabila pemain-pemain ini didedahkan dengan pengalaman beraksi di luar negara selama beberapa tahun, pemain-pemain ini mampu menjadi aset skuad Rusa apabila kembali.
“Pemain-pemain B-23/B-20. Apabila mereka kembali selepas berada di luar negara selama semusim atau dua musim, mereka akan memberi khidmat yang bagus kepada pasukan utama NSFC,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, Faliq tidak mendedahkan pasukan asing mana yang bersetuju menerima pemain Negeri Sembilan secara pinjaman.
Ramai penyokong berspekulasi rujukan Sayap Biru yang dinyatakan beliau sebelumnya merujuk kepada kelab Korea Selatan, Suwon Bluewings. Kelab K-League 2 itu pernah bergelar juara K-League 1 dan Liga Juara-Juara AFC (kini Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).