Pemain Osasuna, Jesus Areso mengejutkan seluruh penyokong di dalam stadium apabila menjaringkan gol dari sudut sukar sewaktu menentang Getafe.
Jesus Areso yang dicabar pemain Getafe di sudut penjuru kanan gol Getafe melepaskan rembatan kencang ke arah pintu gol dan berjaya menewaskan penjaga gol, David Soria.
Penjaga gol itu gagal menepis keluar bola yang melepasi kepalanya akibat tidak menjangka bola sepakan Areso akan menjurus ke arah gawang gol.
Pengulas perlawanan berpendapat Areso mahu melakukan hantaran silang ke dalam kawasan kotak penalti namun sepakan dari sudut sukar tersebut berubah menjadi percubaan tepat ke arah pintu gol Getafe.
Menurut Sport Bible, video gol Areso kemudian tersebar luas di laman media sosial dan mula meraih perhatian warga maya yang menganggap gol tersebut adalah mustahil.
“Itu gol terbaik untuk tahun ini. Mungkin dia tidak sengaja tetapi itu bukan masalah.”
“Gol yang harus memenangi Anugerah Puskas 2024.” ujar warga maya.
Gol tersebut menjadi gol kemenangan Osasuna yang berjaya menewaskan Getafe dengan jaringan 3-2 dalam aksi La Liga.
Pemain pertahanan berusia 25 tahun itu merupakan pemain penting Osasuna pada musim ini setelah merekodkan 19 penampilan liga setakat ini.
Osasuna melonjak ke tangga 11 liga dengan kutipan 25 mata dan hanya dibezakan 1 mata dengan Getafe yang berada ditangga ke-10 liga.
Sebelum ini nama Lee Kang-in turut menjadi perbualan ramai apabila berjaya menjaringkan gol roket dalam saingan Piala Asia sewaktu menentang Bahrain.
Lee Kang-in melepaskan percubaan dari luar kawasan kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol dan membantu Korea Selatan menewaskan Bahrain dengan jaringan 3-1.