Pemain KL City, Ryan dan Declan Lambert dibenarkan beraksi menentang JDT meskipun status sebagai pemain pinjaman dari kelab tersebut.
Ryan dan Declan sebelum ini telah diumumkan pada Februari lalu sebagai pemain baharu skuad juara Liga Super 2023 itu untuk musim akan datang setelah beberapa musim menyarung jersi KL City.
Walau bagaimanapun, menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City, Stanley Bernand, kembar Lambert ini sah bakal kembali ke ibu kota bagi membantu KL City menghadapi musim 2024/2025.
Tambah Stanley lagi, pemain berusia 26 tahun ini juga turut berpeluang untuk diturunkan menentang JDT meskipun dengan status mereka sebagai pemain pinjaman dari kelab selatan tanah air itu.
”Antara aspek teknikal adalah apabila Ryan dan Declan (Lambert) kembali, mereka berpeluang untuk beraksi menentang JDT,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fateen Shazwani.
Beliau sempat memuji tindakan JDT sebagai kelab yang memiliki mentaliti terbaik apabila membenarkan kedua-dua pemain pinjaman mereka tersebut beraksi berdepan mereka nanti.
“Saya kira di situ menunjukkan JDT adalah pasukan yang terbaik, mentaliti juga yang terbaik. Jadi Ryan dan Declan boleh bermain menentang JDT jika jurulatih mahu menggunakan” tambah Stanley lagi.
Stanley turut merasakan ini adalah rundingan yang baik buat semua pihak dengan KL City akan mempunyai lebih banyak pilihan pemain untuk digunakan manakala Ryan dan Declan bakal memperoleh lebih banyak peluang untuk bermain musim ini.
“Seperti yang kita tahu, Ryan dan Declan sudah berada di sini sejak sekian lama, jadi ini adalah satu penambahan yang bagus. Mereka juga tidak sabar (untuk kembali). Mereka juga ada kelab besar sebagai parent club.”
”Mereka muda lagi dan ini peluang mereka mendapatkan minit permainan dan harapnya masa depan yang cerah,” ujar beliau kepada Astro Arena.
Ryan dan Declan Lambert merupakan dua tonggak utama The City Boys sejak beberapa musim yang lalu dan berjaya membawa pasukan mara ke tiga final berturut-turut dalam tempoh tiga tahun.