Barisan pemain Selangor FC menerima nyanyian aneh daripada penyokong sendiri selepas tamat perlawanan bertemu Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Temerloh pada Rabu.
Nyanyian itu seolah-olah menampakkan penyokong Selangor sedang melepaskan geram buat para pemain Gergasi Merah apabila gagal mencatatkan kemenangan berdepan Sri Pahang.
“Oh Selangor, apa yang kau buat? Oh Selangor, apa yang kau buat?,” nyanyi sekumpulan penyokong Selangor.
Video yang telah tular di laman Tiktok salah seorang penyokong Selangor itu telah meraih lebih 40 ribu tontonan.
Penyokong tersebut juga memberi sebab mengapa nyanyian tersebut didendangkan selepas perlawanan menentang Sri Pahang.
“Ini cara kami penyokong Selangor menegur pengurusan. Yang tak ada kena mengena tak perlu sibuk,” coret pemilik akaun Tiktok dakpoyo85.
Dengan keputusan seri 1-1 yang dicatatkan Selangor berdepan Sri Pahang semalam, ini bermakna Selangor masih belum mencatatkan sebarang kemenangan di gelanggang lawan bagi saingan musim ini.
Kesemua kemenangan yang diraih Selangor musim ini adalah apabila beraksi di gelanggang sendiri iaitu di Stadium MBPJ.