Pemain warisan Malaysia, Josh Robinson sah tidak lagi bersama kelab divisyen enam England, Kidderminster Harriers.
Ini selepas pengurusan The Harriers mengumumkan senarai pemain yang dikekalkan bagi menghadapi National League (divisyen lima England) musim 2026/27.
Kelab itu mengekalkan sembilan orang pemain dan sedang mengadakan perbincangan kontrak baharu dengan lima lagi pemain.
Robinson menyertai 10 lagi pemain yang tidak dikekalkan The Harriers selepas musim 2025/26. Berita ini turut dikongsikan akaun Harimau Abroad.
Robinson merekodkan 10 penampilan bersama The Harriers sejak menyertai kelab itu pada Mac lalu. Meskipun hanya sempat bersama kelab itu selama dua bulan, beliau membantu Kidderminster layak ke National League musim hadapan.
Kidderminster layak dengan mengalahkan South Shields 2-0 dalam aksi final playoff yang diadakan pada 9 Mei lalu. Kieran Donnelly dan Charlie Cooper masing-masing mencetak nama sebagai penjaring.
Selain Kidderminster, Robinson juga pernah mewakili skuad remaja Arsenal dan kelab divisyen tiga England, Wigan Athletic.