Pemilik entiti perniagaan di negeri Kelantan berpeluang menikmati perlawanan bola sepak bersama pekerja dan staf dengan kadar yang berpatutan.
Ini selepas kelab Liga A1 Semi-Pro, Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) memperkenalkan pakej Founder di platform rasmi mereka.
Pakej ini memberi peluang kepada entiti perniagaan untuk menikmati perlawanan bola sepak kelab Pantai Timur itu dan mengeratkan hubungan dengan pekerja dan staf.
Pemilik perniagaan berpeluang mendapatkan satu kerusi VIP dan 100 tiket terbuka buat para pekerja. Harga pakej Founder buat mana-mana individu yang berminat mendapatkannya ialah RM1,000.
Ini dilihat sebahagian daripada usaha Kelantan RW merancakkan lagi sokongan penyokong di Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV) sebelum tamat musim 2025/26.
Ini ditambah dengan anak buah Irfan Bakti kini dalam kelompok empat pasukan teratas liga dengan baki tiga perlawanan.
Aksi terbaru Liga A1 pada Jumaat menyaksikan Kelantan RW akan menentang pasukan senegeri, Kelantan WTS FC.
Selain berpeluang menghambat Kedah FA yang kini menduduki tangga ketiga liga, ini juga peluang buat Kelantan RW merekodkan kemenangan berganda ke atas Kelantan WTS.
Aksi sebelumnya antara kedua-dua pasukan menyaksikan Kelantan RW meraih kemenangan besar 6-0.