Seorang pempengaruh media sosial masih tidak serik dengan menyiarkan perlawanan Piala Dunia 2026 secara haram meskipun akaun TikToknya telah disekat baru-baru ini.
Pempengaruh media sosial, Ammar Nazhan dikesan menyiarkan perlawanan pusingan 32 pasukan terbaik Piala Dunia antara Sepanyol dan Austria baru-baru ini.
Perkara ini disedari seorang pengguna X bernama Kamaghul Deghaman. Dia turut memuat naik dua gambar tangkap layar Ammar menyiarkan perlawanan itu menerusi platform pilihannya.
“Ammar Nazhan buat siaran langsung FIFA di sini pula. Siaran langsung perlawanan Austria lawan Sepanyol. Tangan dia pegang alat kawalan jauh, konon main PlayStation 5 (PS5),” katanya.
Kamaghul turut mempersoalkan permohonan maaf yang dibuat Ammar sebelum ini berhubung tindakannya menyiarkan perlawanan Piala Dunia secara haram. Dia merasakan pempengaruh itu masih tidak serik dengan tindakannya itu.
“Ingatkan sudah buat permohonan maaf tak nak buat lagi. Buat juga budak ini,” ujarnya.
Selepas hantaran itu dimuat naik di X, ramai pengguna X merasa kecewa dengan tindakan Ammar dan mahu pempengaruh itu dikenakan tindakan.
Seorang pengguna bernama TengkuDTrace percaya tindakan saman saja yang mampu menyedarkan Ammar untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut. “Orang macam ini tak payah kasihan. Minta maaf buat balik. Kena saman baru dia terhantuk,” katanya.
Seorang lagi pengguna bernama Mkj_78 menggesa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk mengambil tindakan. “RTM & FIFA, tolong ambil tindakan,” katanya.
RTM dan Unifi TV merupakan penyiar rasmi Piala Dunia 2026 di Malaysia.