Penang Jadi Pilihan Chia Ruo Han
MakanBola
Penang FC

Bekas bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Chia Ruo Han memilih Penang FC sebagai pasukan baharu untuk musim 2025/26.

Selepas meninggalkan Harimau Selatan, Ruo Han dikaitkan dengan beberapa pasukan Liga Super. Walau bagaimanapun, beliau memaklumkan pasukan baharunya akan didedahkan pada masa yang sesuai.

Kini, Penang menjadi pilihan beliau untuk kempen musim depan. Perpindahan pemain tengah berusia 23 tahun itu diumumkan di platform rasmi pasukan itu.

“Pernah menyarung jersi skuad kebangsaan U-23 pada tahun 2021, Chia turut mencatat pencapaian membanggakan apabila disenaraikan dalam skuad utama JDT bagi kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2021 di mana ketika itu dia baru berusia 20 tahun dan masuk sebagai pengganti Gonzalo Cabrera.

“Antara pencapaiannya termasuk medal kejuaraan Liga Perdana 2022 serta kejuaraan Piala MFL 2024-25 bersama JDT. Prestasi cemerlang Chia menjadi bualan pemerhati sukan, terutamanya selepas aksi memukau yang dipamerkan dalam perlawanan terakhir Piala MFL baru-baru ini.

“Kini, bersama Penang FC, Chia bersedia membuka lembaran baharu membawa pengalaman, ketenangan dan kualiti yang bakal memperkukuh skuad Harimau Kumbang musim ini,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Ruo Han menjadi rekrut pertama Penang bagi menghadapi musim 2025/26. Sang Harimau Kumbang juga dilaporkan sedang mengintai beberapa tonggak import baharu.

Antara nama yang sedang berlegar ketika ini ialah Tchetche Kipre, Danilo Sipovac dan Thiago Oliveira Fernandes.